“Alamak beb, lama tak nampak. Sejak kahwin terus hilang je…Takut bini ke? Kaki lembik ke? Eh jom lah duduk kejap. Ala bini kau kan boleh tunggu.”
Begitu usikan, atau mungkin ejekan kawan-kawan Sarip bila mereka terserempak setelah lama tak sembang-sembang minum kopi O teh tarek. Agak-agak apakah respons Sarip terhadap cabaran kawan-kawannya tu? Hmm…Teruja jugak kan?
Sarip ada dua pilihan.
Nak sedapkan hati kawan, atau nak sedapkan hati isteri?
Kalau nak sedapkan hati kawan, ya, duduklah Sarip minum-minum kopi O teh tarek.
Kalau nak sedapkan hati isteri, Sarip harus utamakan isteri yang sedang menunggu untuk dibonceng pulang dari kerja.
Senario begini mungkin dipandang enteng bagi sesetengah orang, “Apalah salahnya minum kopi O teh tarek dengan kawan sendiri. Bukannya apa-apa kan?” Umumnya memanglah tak salah minum kopi dengan kawan.
Namum, setiap pasangan perlu menilai semula keutamaan-keutamaan mereka setelah berumahtangga. Siapakah yang lebih diutamakan – kawan atau isteri, kawan atau suami?
Dan ini hanyalah salah satu dari banyak lagi aspek-aspek hidup sebagai suami-isteri yang perlu ditangani bersama. Isu utama adalah setiap pasangan harus menyedari yang mereka perlu untuk berubah apabila mereka berumahtangga.
Bukanlah berubah dari kurus ceding, kurus kedengkek hingga gemuk boncet. Bukan itu.
Tetapi berubah dari segi keutamaan dalam hidup. Ubah tabiat dan perangai buruk. Ubah jadi baik. Ubah apapun demi keutuhan rumahtangga yang didirikan bersama.
Apabila kita kahwin, mahu tidak mahu, kita dan pasangan pasti akan menempuh suatu alam baru yang menuntut kita untuk berubah. Kalau kita enggan berubah kepada yang lebih positif, maka tunggulah saja saat untuk ledakan yang menghancurkan!
Kopi O, Teh Tarek
Kawan Hulur, Kawan Tarek
Kenapa Bodoh, Kenapa Torek
Sendiri Terseliuh, Sendiri Tergolek