Satu lagi pertukaran yang berlaku pada hari nikah adalah ketaatan seorang perempuan.
Saya tanya para bakal isteri, “Kalau sebelum nikah awak semua taat kepada ayah, setelah nikah awak taat kepada siapa?” Sudah terang, “Suami.”
Saya tanya lagi, “Kalau suami ajak tinggal dengan ayah ibunya, bagaimana?”
Reaksi para bakal isteri biasa bercampur-campur.
Umumnya mereka lebih selesa tinggal dengan ibu sendiri. Nak kepit bawah ketiak mak je, jangan marah ye.
Jangan cakap pasal tinggal sebumbung, suami ajak tinggal berdekatan pun susah.
Ada para isteri yang terus-menerus mahu tinggal dekat dengan ibu masing-masing, dan bukan dengan ibu mentua.
Dan perkara ini pun boleh jadi punca pertelagahan di antara suami dan isteri yang baru berumahtangga.
Nanti bila tiba hariraya, lagi boleh perang dayak sampai merajuk-merajuk pada pagi raya.
Kenapa?
Bergaduh pada malam raya. Si isteri nak malam raya di rumah ibu sendiri, suami pun hendak bermalam raya di rumah ibu sendiri.
Pokoknya begini. Kita balik kepada akar.
Saya bukan nak menang mana-mana pihak.
Hakikatnya, setelah nikah, suami lebih utama ditaati dalam hidup seorang isteri, selagi perintahnya tidak bertentangan dengan syarak.
Dan si suami masih lagi wajib berkhidmat kepada kedua ibubapanya, terutama yang kurang berkemampuan. Si isteri pula, berkhidmat kepada suami dalam mencari keredhaanNya.
Namun, si suami pun, patut-patutlah. Berilah ruang dan peluang kepada isteri untuk juga berkhidmat kepada kedua orangtuanya dalam keadaan-keadaan tertentu.
Namun, Syurga seorang suami terletak di telapak kaki ibunya, Syurga seorang isteri terletak di tangan suaminya, iaitu keredhaan suami terhadap isteri.