Salah seorang peserta lelaki di dalam seminar dan bengkel keibubapaan sedar bahwa beliau telah sekian lama tidak memberi perhatian dan kasih sayang kepada anaknya sehingga anaknya yang satu-satunya itu tertangkap kerana melakukan jenayah.
Beliau mahukan anak itu berubah. Namun, ayah ini sedar bahwa perubahan yang diharapkan itu tidak akan berlaku sekiranya beliau sendiri tidak berubah dahulu.
Di antara perubahan yang telah beliau lakukan adalah pertama sekali dengan menukar pekerjaannya yang dahulu memerlukannya untuk sering berjauhan dari keluarga. Beliau beritahu saya yang itu adalah pengorbanan yang perlu beliau lakukan demi menyelamatkan anak dan keluarganya sendiri.
Perubahan kedua yang beliau sedang lakukan adalah sikap dan perangainya sendiri. Beliau sedar yang sebelum ini beliau ini panas baran orangnya. Beliau menyedari ini tidak membantu beliau dalam usahanya untuk menyelamat anaknya itu.
Perubahan ketiga yang beliau lakukan adalah tingkah-lakunya sendiri dan cara beliau mendekati anaknya itu. Beliau kini lebih banyak menggunakan akal fikiran daripada perasaan dan tangan untuk berkomunikasi dengan anaknya itu.
Perubahan keempat yang beliau lakukan adalah untuk belajar menjadi seorang ayah dan suami yang lebih bertanggung-jawab. Beliau kini lebih sedar yang memenuhi keperluan fisikal sahaja seperti makan-minum dan pakai-patut tidak mencukupi. Beliau perlu juga memenuhi keperluan dari sudut kasih-sayang dan juga bimbingan yang perlu beliau berikan kepada keluarganya.
Perubahan kelima yang sekarang ini ayah itu sedang ‘struggle’ adalah dalam usahanya mengenali Tuhannya sendiri, untuk beliau lebih mengenali dirinya sendiri. Beliau sedar yang selama ini beliau tidak banyak memberikan perhatian kepada tuntutan-tuntutan agama. Dan beliau ini masih lagi kekok untuk bersolat.
Namun, beliau sudahpun mengorakkan langkahnya yang pertama untuk mendekati Rabbnya dengan menghadiri program yang dianjurkan oleh sebuah masjid.
Semoga perjalanan ayah ini menerima bantuan Allah swt disertakan pula dengan keberkatan dan keredhaan dariNya. Semoga usahanya untuk berubah dan membawa perubahan dipermudahkan Allah swt.
ALlahumma Ameen.