Pernah seorang peserta kursus persiapan berumahtangga bertanya, “Encik Khair, macamana kalau saya solat istikharah dan kemudian yang keluar dalam mimpi saya adalah wanita lain?” Saya tergelak seketika sebelum kembali serius setelah terperasan yang bakal isterinya itu sedang meleleh airmatanya, sedang hujan renyai-renyai.
Alahai. Keputusan dah buat, solat istikharah tak buat, apa nak buat?
Persoalan yang perlu difikirkan oleh semua pasangan yang berniat nak kahwin adalah,
- Sudah fikir masak-masak ke belum apabila buat keputusan untuk kahwin?
- Sudahkah kita himpunkan segala maklumat yang perlu untuk buat keputusan yang sewajarnya?
- Dah semak ke belum latarelakang diri bakal pasangan kita tu dan juga keluarganya.
- Sesuai ke tidak kita ni dengan dia. Secocok tak? Sekufu’ tak? Jangan pulak ikut syiok sendiri aje, ikut perasaan sendiri aje, “I lap u, u lap me!”
Cik abang, Cik Adik sekelian…Ini kerja pasal kahwin, bukan pasal lap mengelap!
Pokoknya, perlulah kita elakkan daripada buat keputusan untuk berkahwin secara tergesa-gesa. Apapun keputusan yang diambil dengan tergesa-gesa, gopoh-gapah tidak akan menghasilkan sesuatu yang baik.
Islam juga tidak menggalakkan kita tergopoh-gapah dalam apa jua perkara, terutama dalam membuat keputusan. Apatah lagi keputusan untuk mendirikan rumahtangga.
Setelah segala usaha untuk buat keputusan yang baik dilaksanakan, apakah langkah terakhir untuk pastikan yang kita sebenar-benarnya membuat keputusan yang sebaiknya?
Solat istikharah.
Rasulullah saw menjamin yang kita tidak akan menyesal dengan solat istikharah, dan tidak rugi dengan bermuzakarah atau berunding.
Dah buat ke belum? Kalau belum, apa yang ditunggu lagi?