Pentingnya Perancangan Apabila Nak Nikah…
“Alah emak kawinkan aku”… begitulah nyanyian Abang Apek dulu bila nak kawin. Inilah juga topik blog kita kali ini. Ianya berguna buat mereka yang ingin atau yang sedang buat persiapan untuk kahwin – bagaimana buat persiapan yang sebaik-baiknya, seelok-eloknya supaya mahligai yang dibina dapat bertahan selamanya….
Dalam kursus-kursus pra-perkahwinan yang saya kendalikan di masjid-masjid, saya biasa tanya para peserta: “Apakah yang diperlukan untuk membina sebuah masjid seperti masjid ini?” Jawap mereka, “Tanah, batu, simen, duit, orang, arkitek, engineer, perancangan” dan sebagainya. Saya tanya lagi, “Kursus yang awak semua hadir ini untuk apa?” Jawab, “Untuk kita kahwinlah…”dan nanti ada yang jawab…”untuk kita bina masjid…” “Hah, cantik tu. Memanglah, bila kita nak kahwin, orang kata kita nak bina masjid. Eloklah tu.” Saya tanya lagi, “OK, sekarang apakah yang anda perlukan untuk membina masjid anda pula? Siapakah arkitek dalam membina masjid anda? Siapakah engineernya? Siapakah pegawai kewangan? Siapakah CEOnya?”
Pokoknya, pengajaran dari aktiviti ringkas ini adalah kepentingan untuk merancang sesebuah perkahwinan itu seolah-olah ianya suatu projek pembinaan sebuah masjid. Persiapan untuk berkahwin tidak boleh dipandang ringan. Persiapan yang rapi melalui perancangan yang teliti kunci utuhnya masjid yang bakal diimami suami, diurusi isteri sehingga ke akhir hayat nanti.