Ramai ibubapa mahu melihat anak-anak mereka menjadi orang-orang yang berguna, umumnya. Bagi ibubapa yang mempunyai anak-anak yang dibelenggu dengan masalah-masalah tertentu, biasanya mereka mahukan anak-anak mereka berubah dari negatif kepada positif.
Namun, seringkali kami ajukan persoalan pokok lagi asas iaitu, siapakah yang perlu berubah untuk melihat perubahan pada anak-anak? Jawapan yang seringkali diberikan para ibubapa adalah anak-anaklah yang seharusnya berubah kerana merekalah yang ada masalah.
Kami pula berikan JAWAPAN yang BERBEZA.
Pada kami, untuk melihat anak-anak berubah dari negatif kepada positif, IBUBAPA yang terlebih dahulu perlu BERUBAH.
Kalau ibubapa tidak mahu berubah, jangan harap anak-anak akan berubah. TITIK NOKTAH.
Dan apabila ibubapa berubah, anak-anak pasti akan berubah juga. Inilah yang kami saksikan selalu di depan mata dalam program-program yang kami kendalikan.
DI antara kesyukuran dalam kerja-kerja yg kami lakukan adalah apabila seorang anak dan ibunya sudah boleh bergurau senda pada sesi terakhir bengkel, sedangkan di peringkat awal, kedua-duanya macam anjing dengan kucing, kedua-duanya saling bengang di antara satu sama lain.
Di peringkat permulaan siri program, kedua-duanya saling meninggi suara dan tidak boleh berbincang dengan elok. Namun, si ibu memang mahukan hubungan yang lebih baik di antara mereka berdua.
Dalam salah satu sesi perseorangan, kami beri maklumbalas kepada ibu tersebut yang anaknya itu adalah cerminan diri ibu itu sendiri. Ertinya, perangai anak itu adalah sebijik perangai ibunya. Ibu itu tersentak seketika sambil menundukkan kepalanya. Kami memberinya beberapa jalan keluar untuk beliau memilih sendiri jalan penyelesaiannya.
Di antara jalan keluarnya adalah untuk beliau ubah dahulu tanggapan beliau terhadap anaknya itu, dari negatif kepada positif. Kemudian, beliau juga perlu ubah cara beliau berkomunikasi dengan anaknya itu, dari meninggi-ninggi suara kepada nada yang lebih rendah lagi elok didengari telinga, dari sindiran yang pedas kepada kata-kata perangsang yang menyejukkan. Dan ada lagio beberapa perkara yang kami ajukan buat ibu tersebut buat pilihan.
Kami dapati ibu tersebut mula menunjukkan bibit perubahan pada sesi-sesi seterusnya. Dah tidak lagi kedengaran suara tingginya dan tidak lagi kedengaran tuduhan-tuduhan, serkap jarang, sindiran dan lain-lain lagi ungkapan-ungkapan yang negatif terhadap anaknya itu. Beliau mula menggunakan beberapa teknik berkomunikasi yang kami kongsi di sepanjang program.
Di awal program, saya sendiri pun menyirap tengok dan dengar sendiri cara si ibu berkomunikasi dengan anaknya itu, dan panas mata melihat body language si ibu terhadap anaknya itu.
Di penghujung program, sejuk telinga mendengar kata-kata yang lebih positif keluar dari kedua-dua ibu dan anak, serta senang melihat kedua-dua ibu dan anak berbincang bersama dengan baik, bergurau dan ketawa bersama.
Tidak ada nilai wang yang dapat diberikan kepada apa yang kami lihat depan mata kami sendiri akan perubahan positif ibu dan anak tersebut.
Semoga perubahan positif itu menjadikan anak tersebut anak yang soleh, dan bukan anak yang derhaka, serta dan menjadikan ibu tersebut ibu yang solehah lagi membimbing anaknya itu.
Apakah pengajaran dalam kes ini?
Pokoknya, kalau ibubapa mahu lihat anak-anak berubah dari negatif kepada positif, ibubapalah yang seharusnya berubah dahulu. kalau Ibubapa tidak berubah, jangan harap anak-anak akan berubah.
TITIK NOKTAH.